Salam Kemerdekaan

Artikel — By on September 1, 2009 at 1:39 am

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca.

Tanggal 31 Ogos muncul lagi dalam hidup kita. Sebagai seorang warganegara Malaysia tentu kita tahu apa yang berlaku pada tarikh bersejarah tersebut. Mungkin sudah terbayang di kepala kita bentuk sambutan yang bakal diadakan setiap tahun bila tibanya Hari Kemerdekaan. Sebenarnya adalah penting bagi kita menterjemahkan sambutan kemerdekaan dalam bentuk penghayatan, kesedaran dan kesyukuran. Slogan, laungan Merdeka ataupun cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika kita tidak menghayati dengan penuh kesedaran nilai kemerdekaan sebenar.

Penghayatan kemerdekaan juga bukan sekadar melaungkan perkataan merdeka kerana ia juga bermaksud penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan kemerdekaan yang dikecapi.

Kesedaran tentang kemerdekaan pula tidak bermaksud kita tahu di mana, bila atau apa acara yang akan berlaku sempena Hari Kemerdekaan sebaliknya kita perlu menyedari bahawa kemerdekaan itu wajib dipertahankan dari kita dijajah kembali. Mensyukuri nikmat kemerdekaan pula tidak cukup hanya dengan perasaan gembira sebaliknya kita perlu bersyukur ke hadrat Allah atas anugerah yang begitu berharga ini seterusnya bersama-sama mengekalkan kesejahteraan dan kedaulatan tanah air yang tercinta. Golongan pascamerdeka tidak melalui kesusahan, kepayahan atau kegetiran yang berlaku sama ada di zaman pemerintahan Inggeris atau Jepun. Justeru itu kita perlu sedar bahawasanya penjajahan yang boleh berlaku hari ini tidaklah sama dengan penjajahan tentera seperti yang berlaku dahulu. Biarpun penjajahan tentera masih lagi boleh berlaku seperti di sesetengah tempat, hakikatnya penjajahan bentuk baru boleh berlaku dalam bentuk lebih merbahaya kerana ia adalah lebih halus, tersembunyi dan tanpa disedari. Penjajahan dalam bentuk baru berlaku melalui penjajahan pemikiran, budaya serta ekonomi.

Justeru itu generasi pascamerdeka perlu lebih berhati-hati kerana penjajahan tentera dapat dilihat namun begitu penjajahan dalam bentuk baru ini lebih sukar ditangkis. Golongan yang diracuni pemikirannya akan memperjuangkan nilai barat yang bertentangan dengan nilai Islam serta ketimuran biarpun pada hakikatnya, peradaban Barat sudah pun terhakis nilai-nilai murninya. Sejajar dengan itu generasi hari ini perlu memantapkan diri dalam setiap segi, menghindari dari perpecahan serta bercakaran sesama sendiri seterusnya memastikan kesepakatan dan kesepaduan yang mampu menjurus kepada kekuatan dalaman agar negara terus aman dan makmur.

SELAMAT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 52

Sumber : Friendly81

Popularity: 20% [?]

Tags: , ,

1 Comment

  1. Farock says:

    salam kemerdekaan..

    Balas komen ini

Leave a Comment